Selain tindakan ini, PDB menyokong agenda mitigasi iklim Malaysia dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan memacu peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. Selaras dengan aspirasi NZCE 2050 PETRONAS dan laluan dekarbonisasi PDB, kami kekal komited untuk melaksanakan inisiatif seperti solarisasi, penambahbaikan kecekapan tenaga dan perluasan infrastruktur pengecasan EV, sambil meneroka penyelesaian rendah karbon tambahan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di seluruh operasi kami. Usaha ini menyumbang kepada dekarbonisasi perniagaan kami, mengukuhkan daya tahan iklim dan menyokong objektif peralihan tenaga jangka panjang Malaysia.
Pada tahun 2025, Kerajaan Malaysia masih belum memuktamadkan mekanisme cukai karbon. Sebagai persediaan untuk pelaksanaannya kelak, PDB menggunakan harga karbon dalaman Kumpulan PETRONAS sebanyak USD10 setiap tCO₂e bagi menilai potensi impak kewangan penetapan harga karbon dalam jangka sederhana dan panjang.
PDB kekal komited untuk memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim dan akan terus menyokong sasaran NZCE 2050 PETRONAS. Melalui usaha yang berterusan, kami berhasrat membina masa depan yang lebih mampan, bukan sahaja untuk operasi kami, tetapi juga untuk komuniti secara keseluruhan.
Sebagai sebahagian daripada strategi adaptasi perubahan iklim, PDB terus memperkukuh daya tahan aset operasi terhadap risiko fizikal iklim. Lima terminal telah dikenal pasti secara awal sebagai terdedah kepada risiko fizikal iklim. Pada tahun 2024, penilaian kerentanan dan adaptasi telah dilaksanakan di tiga terminal untuk mengesahkan serta menilai tahap pendedahan terhadap bahaya dan keberkesanan kawalan sedia ada.
Risiko iklim yang dikenal pasti termasuk hujan lebat melampau, lonjakan ribut, kilat, dan gelombang haba. Kawalan sedia ada di terminal yang dinilai termasuk pintu banjir, sistem saliran yang diselenggara, perlindungan kilat dengan pemeriksaan berjadual serta prosedur terdokumentasi seperti Pelan Pengurusan Banjir PDB dan Pelan Kelangsungan Perniagaan PDB.
Inisiatif ini menyumbang kepada:
SDG 7: Tenaga Bersih dan Berpatutan
SDG 13: Tindakan Memerangi Perubahan Iklim
Baca lebih lanjut mengenai inisiatif dan sasaran perubahan iklim kami.