BM
Hello, I am MeVA. How can I help you?
Talk to MeVA
<  Slide to cancel
I'm listening ...
Click to stop recording
PETRONAS Dagangan Berhad Melancarkan Program Segar@Mesra
Kuala Lumpur, 7 Januari 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama-sama Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah melancarkan sebuah kerjasama strategik iaitu program Segar@Mesra. Program ini merupakan sebuah program kepenggunaan yang mengkhususkan kepada pemasaran secara terus kepada pengguna yang berkonsepkan pemasaran produk-produk segar beku khususnya bagi produk-produk tempatan yang berupa sayur-sayuran, ternakan, hasil laut dan buah-buahan dengan harga yang berpatutan.

Program daripada pengeluar kepada pengguna (farmer-to-consumer) ini diilhamkan secara bersama oleh KPDNHEP, MAFI dan PDB bertujuan untuk membantu pengeluar, petani dan peternak tempatan dalam mempertingkatkan hasil pendapatan mereka dengan memasarkan secara langsung kepada pengguna di Kedai Mesra PETRONAS yang terpilih. Program ini juga akan memanfaatkan pengguna di mana mereka boleh mendapatkan produk-produk segar beku yang dijual dengan harga siling tidak melebihi RM10 buat masa ini.

Mengulas tentang pelancaran Program Segar@Mesra ini, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu bahawa “program ini adalah merupakan satu kerjasama strategik di antara dua buah kementerian yang mengawalselia produk-produk dan keperluan asas penduduk di negara ini serta Petronas Dagangan Berhad yang mempunyai akses kepada pemasaran bahan keperluan asas melalui rangkaian stesen minyak dan Kedai Mesra yang menyeluruh di seluruh negara. Melalui kolaborasi ini, saya yakin ia akan dapat membantu merealisasikan visi KPDNHEP bagi memperkasa sektor ekonomi domestik serta dalam masa yang sama, mampu melindungi kepentingan para pengguna di Malaysia. Kementerian berhasrat untuk mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang lebih efisien melalui sumbangan daripada pihak pengeluar sendiri yang meliputi petani, nelayan dan penternak sekaligus dapat memendekkan rantaian bekalan serta dapat menjana pendapatan yang lebih kepada golongan ini. Secara tidak langsung, melalui pemasaran secara terus kepada pengguna ini, ia akan dapat menawarkan harga barangan keperluan pada harga yang secara relatifnya lebih rendah daripada pasaran setempat dan mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh yang mencabar berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara pada masa ini. KPDNHEP secara khususnya turut melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengatasi kos sara hidup rakyat di negara ini. Salah satu elemen dalam inisiatif mengurangkan kos sara hidup adalah elemen keberadaan yang akan memastikan capaian kepada bekalan barangan pengguna kepada rakyat tidak terjejas serta mengenalpasti strategi untuk meningkatkan akses barangan pengguna kepada rakyat. Terdapat 12 inisiatif di bawah elemen keberadaan yang dilaksanakan oleh KPDNHEP di mana salah satu daripada inisiatif tersebut adalah bekerjasama dengan stesen minyak dalam memasarkan produk barangan basah dan segar beku.
MAFI
Melalui MAFI, tiga agensi iaitu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pemasaran Pertaniah Persekutuan (FAMA) akan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan Segar@Mesra. NAFAS akan membekalkan ayam premium Peladang yang diperolehi daripada penternak di Johor dan dibiak melalui perladangan kontrak.

NEKMAT akan membekalkan pelbagai jenis ikan di bawah jenama Q-Fish, yang dibekukan menggunakan teknologi Individual Quick Freezing (IQF) di fasilitinya di Kuala Kedah. Teknologi IQF ini mampu menjamin kesegaran ikan sejuk beku setanding dengan ikan yang dijual di pasaran, malah kualitinya juga tidak perlu diragui kerana produk ini tidak terdedah kepada persekitaran. Manakala FAMA pula akan membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan yang segar dari Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dan produk-produk ini akan dihantar ke Kedai Mesra setiap tiga hari bagi memastikan kesegarannya.

Mengulas tentang kerjasama ini, Menteri MAFI, YB Datuk Sri Dr Ronald Kiandee berkata, “Di pihak Kementerian, memang menjadi keutamaan kami untuk meneroka kaedah bagi meningkatkan kebajikan penternak kami. Oleh itu, ini adalah platform yang baik untuk mereka memperluaskan jangkauan mereka dan pada masa yang sama, menunjukkan kualiti keluaran tempatan dan menggalakkan pengguna untuk membeli barangan tempatan. Pada masa ini, kira-kira 40 penternak telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini dan kami menjangka jangkauan ini akan turut meluas serentak dengan perkembangan Segar@Mesra. Pihak Kementerian juga akan memberi bantuan kepada agensi-agensi melalui pembiayaan peralatan yang diperlukan di Kedai Mesra seperti pendingin, penyejukbeku dan kos promosi, jika ada.”

PETRONAS DAGANGAN BERHAD
Untuk fasa percubaan, Segar@Mesra boleh didapati di empat stesen PETRONAS iaitu, PS Unikeb 2, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, PS Persiaran Jaya/Sg Ramal Dalam, PS Prima Saujana 2, Kajang and PS Pelangi Semenyih. Stesen ini telah dipilih secara strategik berdasarkan profil persekitaran komuniti yang disasarkan terutamanya golongan M40 dan B40.

Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias berkata, “Di PETRONAS, kami komited untuk membawa impak sosial positif sebagai sebahagian daripada agenda agenda kemampanan kami. Kami mempunyai rangkaian stesen yang luas di seluruh negara dan sentiasa aktif mendorong usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan kami melalui kempen seperti Love Local yang kini sedang berjalan. Ini juga sejajar dengan fokus perniagaan kami untuk memperluas penyelesaian F&B kepada pelanggan kami serentak dengan perluasan perniagaan kami di seluruh negara. Baru-baru ini, kami telah melancarkan Makan@Mesra yang menawarkan makanan tempatan sedia dimakan yang seimbang dengan harga berpatutan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami. Kini, kami menambah lagi tawaran kami melalui produk Segar@Mesra yang segar dan halal dengan harga berpatutan untuk keperluan memasak harian mereka, sekaligus menjadikan Kedai Mesra sebagai kedai sehenti.”

Bagi menggalakkan sokongan kepada Segar@Mesra, 10,000 pelanggan terawal akan berpeluang menerima RM2 pulangan tunai apabila membuat pembelian minimum RM20 untuk barangan Segar@Mesra melalui aplikasi Setel. Setel adalah aplikasi telefon pertama di Malaysia yang mengintegrasikan platform e-pembayaran dengan pam, Kedai Mesra dan faedah kesetiaan Kad Mesra bagi pengalaman “retail-on-the-go” yang lancar untuk pelanggan PETRONAS dan percuma untuk dimuat turun di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
Untuk maklumat lanjut mengenai Segar@Mesra, sila layari www.mymesra.com.my.
Ooops!
Generic Popup