Usaha PDB dalam menangani perubahan iklim sejajar dengan Pendirian Perubahan Iklim PETRONAS, Komitmen Karbon PETRONAS (PCC), serta aspirasi untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang tahun 2050. Dipandu oleh prinsip-prinsip ini, PDB secara aktif mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) merentasi operasi dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, kami telah menetapkan sasaran khusus untuk mengurangkan pelepasan Skop 1 dan Skop 2:
- Sasaran jangka pendek (2025): Mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 2,031 tCO2e (2%) melalui pemasangan panel solar di seluruh operasi kami.
- Sasaran jangka sederhana (2026–2030): Mencapai pengurangan sebanyak 5,165 tCO2e (5%) melalui peluasan pemasangan tenaga solar.
Pendekatan kami untuk mengurangkan pelepasan Skop 3 merangkumi strategi jangka pendek dan jangka sederhana:
- Sasaran jangka pendek (2025): Meluaskan projek biodiesel, memasang pengecas kenderaan elektrik (EV) di lebih 15 stesen, dan memperkenalkan kemudahan pertukaran bateri untuk EV dua roda di stesen-stesen terpilih.
- Sasaran jangka sederhana (2026–2030): Menyediakan bekalan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Selain itu, kami terus meningkatkan kecekapan tenaga melalui audit tenaga menyeluruh dan pemantauan menggunakan platform digital. Usaha ini memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga dan elektrifikasi, selaras dengan aspirasi NZCE 2050 PETRONAS. Contoh nyata komitmen ini
ialah pemasangan lampu LED cekap tenaga di stesen dan terminal kami.
PDB kekal komited untuk memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim dan akan terus menyokong sasaran NZCE 2050 PETRONAS. Melalui usaha yang berterusan, kami berhasrat membina masa depan yang lebih mampan, bukan sahaja untuk operasi kami, tetapi juga untuk komuniti secara keseluruhan.
Sebagai sebahagian daripada strategi adaptasi perubahan iklim, PDB terus memperkukuh daya tahan aset operasi terhadap risiko fizikal iklim. Lima terminal telah dikenal pasti secara awal sebagai terdedah kepada risiko fizikal iklim. Pada tahun 2024, penilaian kerentanan dan adaptasi telah dilaksanakan di tiga terminal untuk mengesahkan serta menilai tahap pendedahan terhadap bahaya dan keberkesanan kawalan sedia ada.
Risiko iklim yang dikenal pasti termasuk hujan lebat melampau, lonjakan ribut, kilat, dan gelombang haba. Kawalan sedia ada di terminal yang dinilai termasuk pintu banjir, sistem saliran yang diselenggara, perlindungan kilat dengan pemeriksaan berjadual serta prosedur terdokumentasi seperti Pelan Pengurusan Banjir PDB dan Pelan Kelangsungan Perniagaan PDB.