KUALA LUMPUR, 23 MEI 2025 – PETRONAS Dagangan Berhad (PETRONAS Dagangan) hari ini mengumumkan permulaan tahun yang kukuh dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM409.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 TK2025). Ini merupakan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya (S1 TK2024) dan peningkatan 13 peratus berbanding suku sebelumnya (S4 TK2024). Peningkatan ini didorong terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih rendah dan margin keuntungan kasar yang stabil, diimbangi oleh penurunan kecil dalam volum jualan.
Penurunan jumlah jualan ini kebanyakannya disebabkan oleh pengurangan jualan Diesel dan Mogas dalam segmen Runcit, mencerminkan perbelanjaan isi rumah domestik yang lebih berhemah sepanjang musim perayaan. Sebaliknya, segmen Komersial mencatatkan permintaan yang lebih tinggi, dipacu oleh peningkatan penggunaan bahan api penerbangan. Segmen Kemudahan pula kekal stabil, dengan tumpuan kepada peningkatan pengalaman pelanggan serta pengoptimuman perbelanjaan operasi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Azrul Osman Rani berkata, "Prestasi suku ini membuktikan kekuatan asas kami dan kejelasan hala tuju kami. Kami kekal berdisiplin dalam melaksanakan strategi kami bagi menjana nilai, mengekalkan keuntungan dan sentiasa hadir untuk pelanggan kami, di mana sokongan berterusan mereka memacu kami ke hadapan. Dalam kami menggandakan usaha ke arah penglibatan pelanggan yang lebih baik dan mempertingkat kecekapan operasi, kami bergerak dengan tujuan – memperkukuh prestasi hari ini sambil membina ketangkasan untuk terus berdaya saing dalam pasaran masa hadapan.”
Memandang ke hadapan, ketidaktentuan global masih berterusan. Namun, PETRONAS Dagangan akan terus berwaspada terhadap potensi tekanan inflasi dan peralihan pasaran tidak langsung. Walaupun berdepan cabaran ini, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan dan aktiviti pelaburan yang teguh. Diperkukuh oleh asas domestik yang kukuh, PETRONAS Dagangan akan terus memberi tumpuan kepada strategi utama, mempertingkatkan keterlibatan pelanggan dan kekal tangkas dalam kedua-dua segmen teras dan Kemudahan (Convenience) bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam pasaran yang dinamik.
Azrul menambah, “Dalam kita melakarkan hala tuju ke hadapan, tumpuan kami kekal untuk sentiasa mendahului perubahan – bukan sekadar bertindak balas terhadap persekitaran, tetapi memimpin melaluinya. Dengan asas yang kukuh dan pelan tindakan yang jelas, kami bersedia untuk merebut peluang baharu dan memacu pertumbuhan mampan jangka panjang.”
Sebagai langkah memperkukuh usaha ini, PETRONAS Dagangan baru-baru ini memeterai usaha sama strategik bersama Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd., bertujuan untuk memperluas penawaran dan perkhidmatan motosikal elektrik dua roda di Malaysia. Inisiatif ini merupakan langkah bermakna dalam strategi PETRONAS Dagangan untuk mengembangkan penyelesaian mobiliti lestari sambil meningkatkan kemudahan kepada pelanggan.
PETRONAS Dagangan telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.