Sibu, Sarawak, 11 Disember 2021 – PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) hari ini meluaskan inisiatif Segar@Mesra ke Sarawak, yang diharap akan memberi manfaat kepada penternak dan nelayan tempatan serta peniaga lain sepanjang rantaian bekalan dan para pelanggan.
Segar@Mesra adalah konsep farmer-to-consumer yang mula diperkenalkan di Semenanjung Malaysia pada awal tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Ia bertujuan menyokong usaha mempertingkatkan kehidupan petani/penternak tempatan dengan menghubungkan mereka terus kepada pengguna, di samping memastikan pengguna mendapat akses mudah kepada barangan segar beku yang berpatutan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Untuk fasa rintis di Sarawak, Segar@Mesra boleh didapati di empat stesen PETRONAS (PS) - PS Lanang Barat dan PS Lanang 2 di Sibu serta PS Matang Jaya dan PS Astana di Kuching dan akan diperluaskan ke enam stesen lagi. Segar@Mesra di stesen-stesen ini akan menawarkan dua kategori produk tempatan iaitu produk Ayam PERMATA yang dihasilkan oleh Comerich Sdn Bhd dan ikan oleh Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA).
Ayam PERMATA adalah inisiatif di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk membantu penternak tempatan menembusi pasaran Halal di negeri ini dengan produk yang dijamin bebas daripada penyakit dan suntikan hormon atau antibiotik.
PENESA akan membekalkan pelbagai jenis ikan di bawah jenama Q-Fish, yang dibekukan menggunakan teknologi Individual Quick Freezing (IQF) agar kesegaran produk setanding dengan ikan yang dijual di pasaran. Selain itu, kualitinya juga tidak perlu diragui kerana produk ini tidak terdedah dengan persekitaran.
Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias berkata, "Inisiatif Segar@Mesra ini pertama kali diilhamkan oleh Kerajaan dan sejajar dengan komitmen kami untuk mempromosikan perniagaan dan usahawan tempatan, selaras dengan agenda kemampanan kami. Sejak diperkenalkan, kami menerima sambutan yang baik daripada pelanggan kami dan ini telah mendorong kami untuk meluaskan inisiatif ke Sarawak dan Sabah agar lebih ramai akan mendapat manfaat daripada ini.
"Melalui bekerjasama dengan pembekal tempatan sahaja dan mengamalkan konsep farmer-to-consumer, Segar@Mesra dapat memberikan kos kompetitif dan jaminan kualiti kepada pelanggan kami serta pada masa yang sama, meningkatkan mata pencarian petani dan nelayan tempatan melalui rantaian bekalan yang lebih pendek. Ini sejajar dengan janji kami untuk menjadikan kehidupan pelanggan lebih mudah dan bermanfaat." katanya.
Pada majlis itu, baucar Setel bernilai RM10 telah diberikan kepada 500 pelanggan pertama dalam tempoh dua hari di Stesen PETRONAS Lanang Barat. Baucar ini boleh digunakan untuk membeli produk Segar@Mesra, selain bahan api dan barangan Kedai Mesra.
Di Semenanjung Malaysia, Segar@Mesra disokong oleh KPDNHEP, MAFI, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sehubungan dengan perluasan inisiatif ini di Sarawak, PDB sasar untuk menawarkan Segar@Mesra di 50 buah stesen PETRONAS menjelang hujung tahun ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Segar@Mesra, layari laman web ini.