Kota Bahru, Kelantan, 14 Mei 2018 – PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) bersama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), meneruskan misi untuk menyediakan bekalan air bersih yang mampan kepada mereka yang memerlukan dibawah program tanggungjawab soial korporatnya, Water For Life. Kini dalam tahun yang ke-enam, program hari ini melibatkan Kg Simpang Tiga yang terletak di sini berikutan kebimbangan mengenai kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih disebabkan tekanan air yang rendah.
PDB dan MNS, bersama-sama Jabatan Alam Sekitar serta Air Kelantan Sdn Bhd memasang tangki air berkapasiti 200 dan 400 galon untuk 39 buah rumah, lengkap dengan pam air, sistem perpaipan dan penapisan air untuk membolehkan 200 penghuni di sini mendapat akses kepada bekalan air yang bersih. Di samping itu, program kesedaran juga dijalankan untuk mendidik penduduk mengenai pemuliharaan air dan risiko kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan air yang tidak bersih.
Bercakap pada majlis itu, Naib Presiden Pemasaran Perniagaan Hiliran PETRONAS Datuk Seri Hj Syed Zainal Abidin berkata, "Program Water For Life bertujuan untuk memastikan agar komuniti di sekitar kawasan operasi PETRONAS mendapat akses kepada keperluan asas tersebut. Setelah memahami cabaran yang dihadapi oleh penduduk Kg Simpang Tiga, kami merasakan program ini perlu diperluaskan di sini untuk membantu menangani isu kekurangan bekalan air bersih dan meningkatkan kesejahteraan mereka. Setakat ini, kami telah membantu menyediakan bekalan air bersih kepada 15 komuniti tempatan,"
Dimulakan sejak tahun 2013, Program ‘Water for Life’ bertujuan menyalurkan kemudahan bekalan air bersih khususnya di kawasan pedalaman. Progam ini melibatkan pemasangan infrastruktur saluran bekalan air, sekali gus meningkatkan tahap sanitasi am. Pada masa yang sama, ia memupuk kepentingan pemuliharaan air dalam memastikan kelestariannya.
Ketua Kg Simpang Tiga, Azeman Sulaiman yang turut mengulas berkata, “Kami sangat bersyukur dengan inisiatif PETRONAS untuk mengatasi masalah kami dengan menyediakan bekalan air bersih yang berterusan. Kami amat prihatin dengan gangguan bekalan air yang kerap berlaku dan hal ini mempengaruhi kesejahteraan para penduduk di sini. Usaha PETRONAS dan MNS benar-benar meringankan beban penduduk yang ditanggung selama ini.”
Sejak tahun 2013, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 6,000 penduduk dari kampung tempatan di 12 negeri.
Untuk maklumat lanjut bagi program Water for Life, layari
www.mymesra.com.my.