KUALA LUMPUR, 9 MAY 2025 – PETRONAS Dagangan Berhad (PETRONAS Dagangan) dan Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. (BESB) baru-baru ini memeterai satu usaha sama (JV) strategik bagi memajukan pengedaran dan penggunaan kenderaan dua roda elektrik (2W-EV) serta penyelesaian tenaga berkaitan di Malaysia.
Usaha sama ini – melalui penubuhan Blueshark Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) – menggabungkan PETRONAS Dagangan menerusi anak syarikat milik penuhnya, PDB Growth Solutions Sdn. Bhd. (PGSSB) dan BESB. Pencapaian ini menandakan perkembangan berterusan dalam kerjasama antara PETRONAS Dagangan dan BESB yang telah terjalin sejak 2022. Susulan pelaksanaan awal yang berjaya serta kemajuan konsisten dalam segmen 2W-EV, kerjasama ini kini melangkah ke fasa yang lebih tersusun, bertujuan untuk memperluas skala dan impaknya. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk mempercepatkan mobiliti rendah karbon selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
JV akan Bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Limited dan EP Blueshark Sdn. Bhd. bagi Memperkasa Platform EV dan Pemasangan Tempatan
Melalui BMSB, usaha sama ini akan bertindak sebagai pengedar eksklusif 2W-EV berjenama Blueshark di Malaysia, termasuk model Soloera. Ia turut akan mengendalikan perkhidmatan pertukaran bateri di stesen PETRONAS terpilih, menawarkan kemudahan pertukaran pantas kepada penunggang individu, perniagaan dan pengendali armada. Infrastruktur ini telah pun beroperasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, dengan rancangan peluasan secara berperingkat sedang dilaksanakan. Untuk penskalaan di seluruh negara, BMSB akan bekerjasama rapat dengan dua rakan strategik utama.
Sharkgulf Technologies Group Limited (STGL) – pembangun produk asal dan penyedia teknologi untuk platform Blueshark – membekalkan sistem bateri pintar, pacuan kuasa bersambung dan keupayaan penyepaduan perisian kepada usaha sama ini. Teknologi ini menjadi asas kepada prestasi, keselamatan dan ciri pintar motosikal elektrik Blueshark. Pada masa yang sama, usaha sama ini turut memeterai perjanjian dengan EP Blueshark Sdn. Bhd. (EPBSB), anak syarikat milik penuh EP Manufacturing Bhd (EPMB), sebagai pemasang tempatan bagi 2W-EV. EPBSB akan memainkan peranan penting dalam usaha penyetempatan pengeluaran dan logistik bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia.
Kerjasama itu menggabungkan kekuatan unik setiap pihak – rangkaian runcit dan skala operasi PETRONAS Dagangan, inovasi dan kecekapan produk BESB, teknologi EV termaju STGL serta kepakaran pembuatan tempatan EPMB. Ia menandakan komitmen jangka panjang ke arah membentuk landskap mobiliti elektrik negara menerusi satu kerjasama yang berpaksikan hala tuju bersama.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Azrul Osman Rani berkata, “Usaha sama ini mencerminkan langkah strategik buat PETRONAS Dagangan dalam mengembangkan peranan kami melepasi penawaran bahan api tradisional, ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih dan pintar bagi memenuhi keperluan pelanggan hari ini dan pada masa hadapan. Ia turut memperlihatkan bagaimana kami bergerak sebagai rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif – komited dalam merintis penyelesaian baharu untuk mobiliti harian, di samping berpegang teguh pada tujuan kami untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan lebih bermanfaat. Bersama Blueshark sebagai rakan strategik kami, dan didukung oleh kekuatan jenama, rangkaian dan kecemerlangan operasi kami, kami berada dalam kedudukan terbaik untuk membina ekosistem masa depan yang mampu memberikan nilai nyata.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BESB Jeff Chong mengulas, “Kerjasama ini bakal memperkukuh keseluruhan ekosistem EV dua roda di Malaysia dan mempercepatkan kadar penggunaan EV, sambil mengurangkan pelepasan karbon ke arah masa hadapan yang lebih lestari. Bersama PETRONAS Dagangan dan rakan strategik kami, kami berharap Blueshark akan menjadi jenama pilihan isi rumah untuk mobiliti elektrik di Malaysia dan seterusnya. Dengan strategi pengembangan agresif, peningkatan infrastruktur dan kerjasama industri yang kukuh, langkah besar yang kami ambil hari ini akan memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah – diterajui oleh PETRONAS dan Blueshark.”
Ketua Pegawai Eksekutif STGL Tiger Liu turut berkata, “Perkongsian ini bukan sekadar kerjasama perniagaan – ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha bersama kami dan rakan strategik untuk memperkasa pembangunan mobiliti hijau di Malaysia. Di STGL, kami percaya bahawa pengangkutan lestari bukan sekadar trend industri, tetapi juga satu tanggungjawab korporat yang perlu digalas. Kami akan terus memperkukuh inovasi, meningkatkan khidmat tempatan dan berusaha menyediakan pengalaman mobiliti elektrik terbaik buat pengguna di Malaysia.”
Pengarah Eksekutif EPMB Aidan Hamidon menambah, “Perjanjian ini menandakan detik penting dalam usaha EPMB meneroka industri EV sejak 2022. Ia merupakan langkah besar dalam merealisasikan visi kami sebagai peneraju dalam mobiliti mampan dan mempercepatkan masa hadapan yang lebih bersih dan lestari. Perkongsian ini dibina atas asas kepercayaan, visi bersama dan kekuatan yang saling melengkapi. Sebagai rakan kongsi kepada pengeluar OEM automotif tempatan dan antarabangsa, kami membawa kepakaran meluas dalam bidang import dan logistik komponen CKD, penyetempatan serta keupayaan pemasangan. Dengan sokongan rangkaian luas PETRONAS Dagangan dan teknologi termaju STGL, kami berhasrat membangunkan ekosistem EV pintar yang mempercepatkan agenda mobiliti hijau negara.”