Kolaborasi MARA – PETRONAS Bantu Pengembangan Syarikat Industri Automotif Lokal

Sendayan, 17 Disember 2021 – Kolaborasi antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) untuk meluaskan dan meningkatkan insentif industri automotif dijangka menarik lebih banyak syarikat tempatan khususnya di kalangan Bumiputera yang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Inisiatif ini dicapai dengan pembukaan beberapa outlet PETRONAS AutoExpert dan Auto Servis oleh usahawan Bumiputera yang terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP).

Menurut Pengerusi MARA, YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah binti Mohd Dun, “Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam membangunkan industri automotif negara yang sedang berkembang pesat dengan menginovasikan strategi perniagaan daripada PETRONAS yang boleh dimanfaatkan oleh peserta-peserta berkaitan.”

“Selain itu, kita juga mengharapkan kesan limpahan positif seperti pekerjaan berimpak tinggi serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem dalam industri berkenaan,” tambah Azizah lagi.

PUMP dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing usahawan agar lebih kompetitif di pasaran. Antara komponen yang dibangunkan melalui program ini adalah peningkatan imej bengkel dengan konsep terkini melibatkan penggunaan teknologi yang bersesuaian yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.

Tambah Azizah, “Usahawan di bawah PUMP ini telah kita lengkapkan dengan beberapa siri latihan keusahawanan bagi memperkasakan mereka dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya. Malah, modul bagi latihan ini telah kita rangka secara bersama dengan anak syarikat PDB, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM).”

“Bukan itu sahaja, pengubahsuaian bengkel yang memakan masa lebih kurang 3 bulan ini turut mendapat bantuan pembiayaan daripada MARA bagi usahawan yang memerlukan, di samping khidmat nasihat perniagaan yang turut disediakan oleh kedua-dua agensi ini,” jelas Azizah lagi.

Program yang dibangunkan sejak awal tahun ini melibatkan 29 usahawan pengusaha bengkel kenderaan yang dipilih melalui proses temuduga dan konsep bengkel yang akan dibangunkan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Setakat hari ini, seramai 8 daripada usahawan terpilih telah mengubahsuai bengkel kepada PETRONAS AutoExpert dengan jumlah pembiayaan yang disalurkan oleh MARA sebanyak RM6.45 juta. Walaupun negara masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis pandemik COVID-19, 3 daripada pengusaha tersebut telah berjaya mencapai nilai jualan lebih daripada RM2 juta dalam tempoh 3 bulan beroperasi.

Azizah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Servis Kenderaan PETRONAS AutoExpert di Bandar Sri Sendayan hari ini. Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Hardeep Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Dato’ Zulfikri bin Osman.

Ketika ditemui, Hardeep berkata, “Sebagai syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab, PETRONAS Dagangan Berhad mengutamakan pembangunan perniagaan dan kebajikan sosial masyarakat. Ini terbukti melalui kerjasama kami dengan MARA dalam program PUMP yang berpandukan agenda kelestarian kami. Program ini bukan hanya memberi impak kepada usahawan automotif tetapi juga memberi manfaat yang tinggi kepada pihak pengguna melalui tawaran perkhidmatan yang lengkap dan profesional dengan harga berpatutan daripada PETRONAS AutoExpert.”

“Kerjasama ini merupakan pencapaian penting, hasil daripada perkongsian agensi awam dan swasta bagi merealisasikan pembabitan usahawan di dalam teknologi berimpak tinggi selaras dengan Dasar Automotif Nasional,” katanya semasa ditemui hari ini.

Sementara itu, pemilik kepada OZI Holding, Noor Hijat bin Mohd Noor berkata, “Terima kasih MARA dan PETRONAS kerana memberi peluang kepada syarikat saya. Ilmu dan bantuan yang saya perolehi akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan perniagaan saya ke tahap seterusnya.”

OZI Holding telah memulakan operasinya di Pusat Servis yang baharu bermula pada Oktober tahun ini setelah melalui proses pengubahsuaian. Pusat Servis ini menawarkan khidmat penyelenggaraan kenderaan, perkhidmatan tukar dan servis tayar, tukar ganti enjin dan juga pembaikan penghawa dingin.

Untuk rekod, MARA telah menyalurkan sejumlah RM74.57 juta kemudahan pembiayaan perniagaan melalui skim MARA Integrated Smart Auto (MISA) kepada 52 usahawan dalam tempoh 5 tahun ini. Di samping itu, MARA juga turut mengadakan sesi latihan serta program-program keusahawanan berkaitan kepada lebih daripada 4,000 usahawan dalam bidang yang sama.


Ooops!
Generic Popup