Melaka, Bandaraya Bersejarah
Negeri Melaka sememangnya sudah terkenal semenjak lima ratus tahun yang lampau. Pada hari ini, ia dikenali sebagai tempat tinggal sebuah komuniti unik iaitu masyarakat Baba Nyonya. Pada kurun ke-15, pengasas kerajaan Melaka, Parameswara telahpun menjalinkan hubungan dengan kerajaan China dan pahlawan terbilang, Laksamana Cheng Ho.
 
Menurut lagenda, Maharaja China telahpun menghantar Puteri Hang Li Po untuk mengahwini Sultan Melaka bagi merapatkan lagi hubungan di antara dua kerajaan tersebut. Diringkaskan cerita, rombongan pengiring puteri tersebut telahpun menetap di Bukit Cina dan mengahwini masyarakat tempatan. Masyarakat yang lahir hasil daripada perkahwinan tersebut dikenali sebagai Baba Nyonya, kadangkala ia juga dikenali sebagai Peranakan ataupun Cina Selat. Baba merujuk kepada kaum lelaki manakala Nyonya pula merujuk kepada kaum wanita.

Pertembungan budaya yang unik
Komuniti unik ini berjaya menggabungkan kebudayaan dua masyarakat yang besar iaitu budaya Cina dan Melayu di dalam adat resam, cara berpakaian, makanan yang dihasilkan dan juga bahasa pertuturan seharian. Walaubagaimanapun, mereka bukanlah penganut agama Islam tetapi merupakan penganut agama turun-termurun nenek moyang mereka. Masyarakat Baba Nyonya ini terkenal dengan pakaian “kebaya nyonya”. Kebaya nyonya ini mempunyai elemen yang terdiri daripada komponen pakaian tradisional masyarakat Melayu seperti batik sarung, baju kebaya dan juga kerongsang. Pakaian ini amat terkenal dan telahpun diangkat sebagai pakaian tradisi masyarakat Baba Nyonya.
 


Bagaimana hendak ke sana
Ambillah Lebuhraya Utara-Selatan untuk ke Melaka - perjalanan akan mengambil masa kira-kira dua jam daripada Kuala Lumpur. Anda pasti terpesona dengan kehijauan yang bakal dinikmati di sepanjang perjalanan dengan pelbagai perhentian rehat dan rawat yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah stesen minyak. Ia pastinya suatu perjalanan yang seronok dan mendamaikan.

Jangan lupa untuk pastikan kereta anda telahpun diselenggara dengan baik dan isilah di stesen PETRONAS yang terletak di Taman Teknologi Malaysia/Bukit Jalil (jika anda melalui lebuhraya KL- Seremban) Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil dan Seremban di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan, atau RSA Air Keroh di Lebuhraya Senawang-Air Keroh untuk perjalanan yang lebih selamat dan selesa!
Antara masakan popular masyarakat Baba Nyonya pula termasuklah Ayam Kapitan, Sup Itik, Laksa dan juga Kueh Nyonya.

Muzium Warisan
Salah satu cara untuk memahami keunikan budaya kaum Baba Nyonya adalah dengan melawati Muzium Warisan Baba Nyonya yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Terletak bersebelahan dengan Jonker Street (juga dikenali dengan nama Jalan Hang Jebat), muzium persendirian ini diusahakan oleh masyarakat Baba Nyonya dan pastinya menarik perhatian anda pada kunjungan kali pertama. Muzium ini mengandungi barang-barang antik yang terkenal di kalangan masyarakat Baba Nyonya seperti perabot ukiran tangan, barangan seramik, barangan hiasan kilatan laker dan juga pakaian tradisional mereka yang dihasilkan daripada fabrik yang bermutu tinggi dan juga manik-manik yang  rumit.